fbpx

Cadangan garis panduan upacara bukan waktu sesuai – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Foto FACEBOOK SELANGOR ROYAL OFFICIAL

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan bukan Islam termasuk di negeri ini.

Baginda menegaskan, cadangan itu dibuat pada waktu tidak bersesuaian ketika rakyat giat mengeratkan amalan muhibah meliputi pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan.

Sultan Sharafuddin bertitah, polemik yang tercetus itu menimbulkan keresahan kepada masyarakat dan ia pasti menjejaskan keharmonian yang sedia terjalin.

“Islam menerusi al-Quran dan sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dengan diperkuatkan menerusi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.

“Justeru, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan itu tidak timbul kerana tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan,” titah baginda menerusi satu hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin mengingatkan toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi di Malaysia yang dikenali sebagai negara majmuk.

Baginda turut mahu umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh dan kesempurnaan iman hakiki supaya tidak mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir luar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI