PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan pendiriannya kekal tidak berubah berhubung permohonan perintah larangan bersuara (gag order) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Merujuk kepada laporan sebuah portal berita bertajuk ‘Terima kasih Azalina kerana tolong koordinasi gag order – Zahid’, Azalina berkata, bahawa permohonan gag order tidak sepatutnya dibuat dalam isu berkaitan Titah Adendum memandangkan perkara itu telah menjadi pengetahuan umum.
“Saya juga telah menghubungi (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan beliau menjelaskan bahawa kenyataannya merujuk kepada pendirian kami.
“Ahli-ahli Parlimen blok Barisan Nasional berhubung isu ini dalam mematuhi Peraturan Mesyuarat 36(2),” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Menurutnya, peraturan itu menetapkan bahawa Ahli Dewan Rakyat tidak boleh mengucapkan perkara yang sedang diadili di mahkamah (subjudis) jika ia boleh merosakkan kepentingan pihak-pihak yang terlibat.
Azalina menjelaskan bahawa keputusan tersebut berkaitan larangan membahaskan dan membincangkan perkara berkaitan Titah Adendum dalam Dewan Rakyat.
“Oleh itu, kenyataan beliau perlu difahami dalam konteks tersebut dan bukannya sebagai pendirian kerajaan terhadap gag order secara umum,” ujarnya.
Pada Selasa lepas, sebuah portal berita melaporkan, Ahmad Zahid menghargai tindakan Azalina yang membantu mengkoordinasi perintah larangan bersuara berkaitan titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – KOSMO! ONLINE