fbpx

[KEMASKINI] Lemas Pantai Irama: Arwah suami kerap luah soal mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraini menunjukkan gambar arwah Rosli ketika ditemui di HPUSM Kubang Kerian, Kota Bharu hari ini. FOTO ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Seorang warga emas yang lemas ketika cuba menyelamatkan dua cucunya di Pantai Irama, Bachok dekat sini hari ini kerap meluah dan bercakap mengenai kematian sejak kebelakangan ini.

Mangsa, Rosli Yusof, 63, yang merupakan pesara di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dikatakan turun ke kawasan hujung batu di pantai berkenaan bersama cucunya kira-kira pukul 9 pagi.

Isteri mangsa, Zuraini Isa, 55, berkata, sebelum kejadian, dia bersama arwah suami, anak perempuan, Nurul Anis, 33, termasuk dua cucu iaitu Muhammad Lutfirrahman Mohammad Zul-Izzy, 7, dan Muhamnad Zhafran, 8, ke pantai tersebut pada pukul 8.40 pagi.

Menurutnya, dia dan keluarga bertolak dari rumah Kampung Tanjong Mas, di sini selepas anak dan dua cucunya datang bermalam di rumah.

“Mereka mengajak kami untuk berkelah di Pantai Irama. Arwah suami dan saya bersetuju untuk berkelah di sana.

“Saya yang berada kira-kira 10 meter dari tempat arwah dan dua cucu mandi melihat tangan suami melambai-lambai meminta pertolongan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian di sini hari ini.

Zuraini memberitahu, dalam keadaan panik Nurul Anis dan arwah suami cuba menyelamatkan Muhamnad Lutfirrahman dan Muhammad Zhafran bagi mengelak dibawa arus.

“Saya tidak menyangka luahan arwah yang sering bercakap mengenai kematian sejak kebelakangan ini merupakan petanda dia pergi meninggalkan kami sekeluarga buat selamanya.

“Arwah suami disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Daerah Bachok. Nurul Anis dan dua cucu pula masih dirawat di Hospital Bachok,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI