PETALING JAYA – Sebanyak RM3.6 juta telah diagihkan kepada seramai 143 usahawan India selepas dua minggu kerajaan mengumumkan peruntukan RM100 juta melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI dan SPUMI Goes Big) di Bawah Tekun Nasional bagi tahun 2025.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, jumlah tersebut telah disalurkan kepada usahawan yang memohon dana Tekun Nasional melalui program SPUMI dan SPUMI Goes Big selepas diumumkan pada 14 Januari lepas.
“Dalam tempoh masa dua minggu sahaja, selepas dana RM100 juta diumumkan, Tekun Nasional telah salurkan RM3.6 juta kepada seramai 143 usahawan India.
“Daripada jumlah tersebut RM555,000 diagihkan melibatkan 14 usahawan melalui program SPUMI Goes Big dan RM3.061 juta untuk 129 usahawan menerusi inisiatif SPUMI,” katanya selepas menpengerusikan mesyuarat pemantauan program SPUMI dan SPUMI Goes Big hari ini.
Katanya lagi, dia akan memastikan dana RM100 juta ini disalurkan dengan terurus dan terancang. Justeru, setiap bulan beliau sendiri akan pengerusikan mesyuarat pemantauan bagi memperkasakan lagi sistem penyampaian.
Pada 14 Januari lepas, Ramanan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India mengumumkan peruntukan RM100 juta melalui Tekun Nasional untuk memperkasakan dan memperkukuh lagi agenda pemerkasaan ekonomi komuniti India.
Kedua-dua inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan hampir 5,000 usahawan India tahun ini bagi mengembangkan perniagaan dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
“Kalau kita lihat, sebelum ini bajet (SPUMI) yang ditetapkan (dalam Belanjawan 2025) ialah RM30 juta sahaja tetapi Perdana Menteri telah menugaskan saya untuk menjaga hal-hal komuniti India dengan meningkatkan dan memperbanyakkan inisiatif tahun ini.
“Jadi sebagai permulaan, Tekun melalui dana dalaman (internal fund) mereka akan tambah RM70 juta lagi, menjadikan peruntukan keseluruhan SPUMI ialah RM100 juta tahun ini iaitu satu angka terbesar untuk komuniti India sejak 2008,” katanya.
Beliau berkata usahawan India yang berminat mendapatkan dana itu boleh mengemukakan permohonan di laman sesawang Tekun atau berkunjung ke mana-mana pejabat yang berdekatan.
“Di bawah SPUMI, Tekun akan memberikan pembiayaan dana antara RM1,000 hingga RM50,000 kepada mereka yang layak manakala melalui SPUMI Goes Big (RM50,000-RM100,000) dengan tempoh kelulusan kurang daripada 14 hari,” katanya.