BACHOK – Usaha murni seorang warga emas untuk menyelamatkan dua cucunya hampir lemas berakhir tragedi apabila dia yang menjadi mangsa dalam kejadian di Pantai Bachok di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, orang awam dan anggota Agensi Pertahanan Awam (APM) sempat menarik Rosli Yusof, 63, yang dipercayai ditarik oleh ombak pantai tersebut.
Difahamkan, mangsa bersama seorang anak perempuan berusia 30-an dan dua cucu berusia tujuh dan lapan tahun dipercayai datang untuk mandi di Pantai Irama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd. Azrie Sulaiman berkata, mangsa disahkan meninggal dunia dan pengesahan dibuat oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Daerah Bachok.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk proses bedah siasat, manakala dua cucunya mendapat rawatan susulan di Hospital Bachok.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila kedua cucunya ditarik ombak ke kawasan lebih dalam sebelum warga emas itu cuba menyelamatkan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE