PETALING JAYA – Kertas siasatan berhubung kes penipuan RM95,180 melibatkan Afreena Suhaimi yang juga isteri pelakon dan pelawak Along Cham, telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, wanita berkenaan kini diserahkan kepada Polis Sabah bagi membantu siasatan membabitkan kes yang dilaporkan di negeri tersebut.
“Kertas siasatan sudah diserahkan kepada TPR untuk tindakan lanjut manakala suspek kini ditahan reman di Sabah bagi siasatan lanjut di negeri itu.
“Suspek akan diambil semula untuk dituduh di mahkamah membabitkan kes penipuan di Selangor selepas selesai siasatan di Sabah,” katanya dihubungi.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Afreena tampil membuat laporan polis terhadap seorang individu dikenali sebagai Ika atas dakwaan menipu wang RM95,180.
Menurut laporan Afreena, wang itu diserahkan untuk membantu membebaskan suaminya daripada tahanan dan mengurangkan hukuman mahkamah.
Susulan laporan diterima, polis menahan suami isteri berusia 20-an di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, pada 29 Januari lalu
Suspek wanita yang ditahan itu mempunyai lima rekod lampau berkaitan penipuan di empat negeri iaitu di Selangor, Sabah, Negeri Sembilan dan Kedah.-KOSMO! ONLINE.