IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menjadi tetamu utama Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Negeri Perak tahun 2025 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah serta Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan Exco, kepimpinan dan pentadbiran negeri.
Majlis tersebut bermula dari pukul 10.30 pagi sehingga petang dihadiri kira-kira 17,000 orang ramai yang mengunjungi khemah makanan di pekarangan stadium selain menyaksikan persembahan tradisional masyarakat Cina.
Semasa kemuncak majlis, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menggaul ‘yee sang’ sebagai simbolik sambutan perayaan dan turut menyampaikan sumbangan angpau kepada 68 penerima dari pelbagai rumah kebajikan.-KOSMO! ONLINE