ANTARA 7.8 bilion penduduk di dunia, siapa yang dikurniakan permulaan baik bagi tahun 2021? Siapa pula yang sudah cukup mengerutkan dahi dengan segala bencana dan dilema tiada berpenghujung ketika ini?
Barangkali, jawapan kepada persoalan tersebut ada pada seorang bintang muda berbakat besar Hollywood bernama Olivia Rodrigo. Entah mana datangnya magis, lagu nyanyian dan ciptaannya, Drivers License kini terjulang sebagai lagu nombor satu di dunia!
Lagu pop bernuansa melankolik tersebut meroket di tangga pertama dalam kebanyakan platform penstriman muzik seperti iTunes, Spotify dan Amazon.
Bagaimana dia melakukannya? Penulis tidak tahu, namun satu perkara yang pasti, dia sekarang antara bintang yang menjadi buah mulut bukan sahaja di Hollywood bahkan di seluruh dunia disebabkan single debut yang diluncurkan pada tanggal 8 Januari 2021 itu.
Dalam Spotify sahaja, Drivers License memecahkan rekod sebagai lagu paling pantas dalam sejarah yang mencatat 100 juta unit penstriman.
Kejayaan tersebut diraih dalam tempoh hanya lapan hari sejak detik pertama menerjah halwa telinga pendengar.
Gila, pecah rekod
Bukan sahaja peminat, ramai bintang berstatus elit seperti Taylor Swift, Halsey dan Kylie Jenner menyukai lagu tersebut. Masing-masing turut berkongsi apresiasi dalam laman sosial media.
“Bersebelahan dengan Taylor Swift di iTunes AS saya menangis kegembiraan sekarang,” kongsi Rodrigo dalam sosial medianya apabila Drivers License mula mendaki carta muzik popular.
Swift membalas hantaran status tersebut: “Saya nak cakap perkara yang sama sayangku dan saya sangat berbangga.”
Enam hari selepas meluncurkan Drivers License, Rodrigo masih seperti berada dalam mimpi apabila karya berkenaan mencipta fenomena luar biasa.
“Minggu paling gila dalam dalam kehidupan saya . Keseluruhan hidup saya telah berubah minggu ini, namun pada masa sama, semuanya masih dalam lingkungan dan situasi yang sama,” katanya seperti dipetik daripada majalah Billboard.
Rasmi pada Rabu lalu, debut Rodrigo bukan sahaja berjaya menduduki nombor satu di Amerika Syarikat (AS) iaitu Billboard Hot 100, Drivers License merupakan lagu nombor satu di dunia apabila meroket di tangga pertama, Billboard Global 200.
Setiap kejayaan tidak datang bergolek. Ada cerita di sebalik lagu Driver License. Teori peminat berlegar mengatakan bahawa lagu itu ditulis selepas dia patah hati dalam percintaan. Lelaki yang dimaksudkan dalam lirik lagu berkenaan adalah kekasihnya dalam High School Musical: The Musical: The Series bernama Joshua Bassett.
Cinta lokasi Joshua Basset
Apa sebenarnya yang terjadi antara mereka? Menurut teori peminat dan laporan media, Rodrigo dan Basset berpacaran saat mereka terlibat dalam penerbitan semula muzikal terbitan Disney+ itu.
Melakonkan utama sebagai Nini (Rodrigo) dan Ricky (Basset), percintaan mereka mula memudar apabila Basset menjanjikan bermacam perkara, namun akhirnya curang dengan seorang lagi bintang Disney, Sabrina Carpenter.
Mereka tidak pernah mengiyakan atau menidakkan tentang percintaan, namun Rodrigo ada mengulas persoalan tentang ‘kesahihan’ dedikasi lagu Drivers License.
“Saya faham orang ramai ingin tahu secara spesifik lagu tentang siapa dan apa, tetapi sekarang, itu perkara yang paling tidak penting.
“Dapat tengok lagu itu disambut baik dan pada masa sama, berkongsi momen menyakitkan dalam hidup dan mengubahnya menjadi sesuatu yang sangat indah mungkin membantu orang berdepan perkara sama, itu sangat bermakna buat saya.
“Saya bersyukur kerana dapat buat sesuatu seperti itu,” katanya.
Usia Rodrigo masih hijau. Dia baru berusia 17 tahun dan masih bersekolah. Mempunyai lagu yang kini duduk di tangga nombor satu dunia, itu satu perkara yang sangat diidamkan kebanyakan penyanyi di dunia.
“Sekarang saya tengok banyak peluang hebat di depan mata.
“Ramai orang yang dijadikan idola mendekati saya dan mengakui sukakan lagu saya. Satu perkara yang saya sukar untuk dipercayai.
“Tetapi saya masih orang yang sama. Saya masih budak perempuan berusia 17 tahun yang buat kerja sekolah ‘statistik’ di dalam bilik saya,” katanya kepada Billboard.
Tak lupa asal usul
Bercakap tentang latar belakang keluarganya, Rodrigo mempunyai darah kacukan Filipina. Tidak dapat dinafikan, orang Filipina sememangnya sangat ‘cekap’ dalam hal-hal kesenian.
Lihat sahaja dampak yang ditinggalkan mereka seperti penyanyi Charice Pempengco dan sensasi bintang media sosial, Bretman Rock yang menggegar Hollywood.
“Moyang saya berpindah ke AS dari Filipina ketika masih remaja. Bapa saya membesar dalam keluarga yang makan masakan Filipina, bapanya (datuk saya) bercakap bahasa Tagalog.
“Tradisi itu diturunkan daripada generasi ke generasi. Setiap kali ‘Thanksgiving’, kami akan makan ‘lumpia’ dan masakan seperti itu,” katanya ketika diwawancara Centre For Asian American Media.
Bagaimanapun kata Rodrigo, dia tidak pernah menjejak kaki di Filipina, namun jika diberi peluang, dia ingin sekali melawat negara tersebut.
“Saya masih ada saudara mara di sana (Filipina), namun tidak pernah bertemu dengan mereka. Melawat Filipina adalah antara perkara yang ingin saya lakukan. Sekarang, kami hanya berhubung menerusi panggilan video.
“Bagi saya, penting untuk ambil tahu asal usul dan budaya. “Bercakap tentang hal itu dengan mereka walaupun hanya dengan panggilan video sangat informatif,” katanya.
Bukan senang untuk memahat nama di AS, terutama anda bukan orang berkulit putih dan apatah berdarah Asia. Kejayaan Rodrigo sekali gus membuka peluang untuk semua orang berkarya tidak kira warna kulit, kepercayaan dan perbezaan budaya.
Kini, Drivers License duduk selesa di tangga nombor satu carta lagu global tepat pada masanya, saat, tampuk kepimpinan negara Uncle Sam itu kini tidak lagi dikemudi Donald Trump.
Sekarang masa untuk Joe Biden dan Kamala Harris memimpin negara paling berkuasa dunia itu ke laras seterusnya selepas banyak bergelut dengan pelbagai kecamuk ketika Trump berkuasa.