SEOUL – Dua syarikat penerbangan tambah murah Korea Selatan, Jeju Air dan Air Busan menawarkan diskaun besar harga tiket kapal terbang untuk merangsangkan permintaan, lapor akhbar Korean Times.
Tawaran itu dibuat selepas jualan tiket merosot berikutan nahas melibatkan dua syarikat penerbangan berkenaan, baru-baru ini.
Imej korporat Jeju Air tercalar teruk susulan tragedi pada Disember tahun lalu sehingga meragut 179 nyawa.
Nahas pesawat Jeju Air mengakibatkan pendapatannya menjunam selepas pelanggan membatalkan pembelian tiket penerbangan.
Menurut data Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan, jumlah penumpang yang terbang bersama Jeju Air menurun 29.3 peratus dalam tempoh 26 hari berikutan nahas pada 29 Disember 2024 berbanding bulan sebelumnya.
Syarikat Jeju Air kemudian menggunakan strategi mengurangkan harga tiket secara drastik.
Ia menjual tiket penerbangan Seoul-Jeju pada harga kurang 20,000 won (RM60.94), jauh lebih murah berbanding biasa.
Air Busan juga sedang dalam ‘penelitian’ pihak berkuasa aviasi selepas sebuah pesawat penumpangnya terbakar sebelum penerbangan bulan lepas
Menurut data kementerian itu, jumlah penumpang syarikat tambang murah, Jin Air dan T’way Air juga turun masing-masing sebanyak 10.4 peratus dan 5.6 peratus dalam tempoh sama berikutan kebimbangan pelanggan terhadap syarikat penerbangan tambang murah (LCC).
“LCC tidak mempunyai pilihan (tetapi) untuk mengurangkan harga tiket untuk meminimumkan kejutan (akibat nahas),” kata seorang pegawai industri penerbangan. – AGENSI.