JOHOR BAHRU – Seorang wanita berusia lingkungan 20an ditemui mati di tempat parkir motosikal di Blok A, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, di sini sebentar tadi.
Menurut salah seorang saksi, Mohd. Fikri Azhan, 24, dia terdengar bunyi dentuman kuat ketika berada di rumahnya di blok yang sama.
Katanya, dia kemudiannya turun ke kawasan parkir motosikal itu untuk melihat keadaan wanita terbabit sebelum menghubungi balai polis berhampiran dan ambulans.
“Kejadian berlaku dianggarkan pada pukul 11.20 pagi tadi ketika saya sedang berada di rumah. Saya dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat dan apabila menjenguk keluar mendapati terdapat seorang wanita terbaring di atas motosikal,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.
Menurut Mohd. Fikri, penduduk setempat tidak mengenali identiti mangsa yang dipercayai bukan penduduk setempat dan berdasarkan kad pengenalan wanita itu beralamat di Melaka.-KOSMO! ONLINE