fbpx

KDN haramkan tiga judul buku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga judul buku yang diharamkan oleh KDN.

PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan Perintah Larangan terhadap tiga tajuk penerbitan yang dikategorikan mendatangkan kemudaratan kepada moral masyarakat.

KDN melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan, bahawa tindakan itu dibuat di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] dan berkuat kuasa pada 21 dan 22 Januari 2025.

“Langkah ini diambil untuk mengawal serta mencegah penyebaran ideologi dan kandungan yang bertentangan dengan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.

“Tiga penerbitan yang dikenakan larangan ialah My Shadow Is Purple oleh Scott Stuart, yang diharamkan melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2025 [P.U.(A) 26] berkuat kuasa pada 21 Januari lalu,” kata kenyataan tersebut.

Selain itu, Koleksi Puisi Masturbasi oleh Amir Hamzah bin Akal Ali (Benz Ali) turut diharamkan melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 2) 2025 [P.U.(A) 31] yang berkuat kuasa pada 22 Januari.

Turut disenaraikan All That’s Left In The World oleh Erik J. Brown melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2025 [P.U.(A) 32] yang turut berkuatkuasa berkuat kuasa pada tarikh yang sama iaitu 22 Januari.

Menurut KDN, Perintah Larangan ini adalah sebahagian daripada pendekatan kawalan awal bagi memastikan masyarakat mendapat pendedahan yang sesuai serta mengelakkan ancaman kepada kemoralan sebelum ia menjadi lebih meluas.

“Sehubungan itu, pihak yang mencetak, mengimport, menerbit, menjual, mengedar atau memiliki mana-mana penerbitan yang telah diharamkan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Individu yang disabitkan kesalahan mengikut subseksyen 8(2) Akta 301 boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

KDN juga akan terus memberi komitmen dalam mengawal selia penerbitan bagi memastikan penyebaran kandungan yang bercanggah dengan nilai sosiobudaya tempatan dapat dicegah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI