fbpx

Pesawat penumpang hilang ditemukan, semua terbunuh 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota USCG memeriksa bangkai pesawat Bering Air Caravan yang hilang di Alaska kelmarin. - USGC Alaska

WASHINGTON – Sebuah pesawat komersial kecil dilaporkan hilang di negeri Alaska, barat laut Amerika Syarikat (AS) ditemukan, namun semua 10 penumpang bersama juruterbang disahkan terbunuh, lapor laman berita ABC News semalam. 

Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) mengesahkan penerbangan Bering Air Caravan itu ditemukan kira-kira 55 kilometer ke tenggara Nome. 

“Tiga orang ditemui maut, manakala mayat tujuh lagi dipercayai berada di dalam pesawat. 

“Setakat ini, pesawat berkenaan masih tidak dapat diakses kerana keadaannya sangat teruk,” kata USGC. 

Komander USGC, Mike Salerno berkata, sembilan penumpang dan seorang juruterbang yang berada di dalamnya terbunuh. 

Bangkai pesawat ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat menggunakan helikopter USCG MH-60 Jayhawk sebelum dua perenang diturunkan untuk meninjau bangkai pesawat.

Pesawat jenis Cessna 208B itu dilaporkan hilang sekitar pukul 3.20 petang (waktu tempatan) selepas berlepas dari Lapangan Terbang Unalakleet menuju ke Lapangan Terbang Nome, pada jarak lebih 200 kilometer, demikian menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA). 

Pelbagai agensi turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat termasuk Pengawal Kebangsaan Alaska, Pasukan Tentera Negeri Alaska dan Jabatan Bomba Sukarelawan Nome.

Usaha untuk mencari pesawat yang hilang bertambah sukar disebabkan cuaca buruk di rantau berkenaan, kata pihak berkuasa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI