fbpx

Ikmal Amry, Hakimi Noordin juara Who’s Your Bro musim pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ikmal (kanan) dan Hakimi (kiri) berjaya mengharungi beberapa cabaran sukar sekali gus berjaya menewaskan pesaing terdekat mereka.

PETALING JAYA – Pasangan pelakon dan model, Ikmal Amry serta Hakimi Nordin dinobatkan sebagai juara Who’s Your Bro musim pertama.

Dalam episod akhir yang disiarkan di saluran Astro Ria malam tadi, Ikmal dan Hakimi berjaya mengharungi beberapa cabaran sukar sekali gus berjaya menewaskan pesaing terdekat mereka iaitu pasangan Saddam Pitti dan Dr Shazif yang menduduki tempat kedua serta Theeban G dan Syafiq Johari di tempat ketiga.

Kemenangan itu melayakkan Ikmal dan Hakimi membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 beserta trofi.

Kemenangan mereka mengejutkan ramai kerana sebelum ini, banyak pihak memandang rendah termasuklah salah seorang komentator iaitu Dr Say.

“Saya ingat mereka akan terkeluar episod pertama atau kedua. Saya nak minta maaf kepada Ikmal dan Hakimi. Terbukti mereka tidak hanya bersandarkan rupa semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Ikmal berkata, dia pernah hampir putus asa pada permulaan rancangan itu kerana cabaran yang diberikan terlalu sukar buat dirinya.

“Rasa seperti mimpi. Kalau melihat semula perjalanan kami sejak masuk ke program ini, kami hampir tersingkir. Saya pernah terfikir kenapalah saya masuk rancangan ini.

“Saya ingat saya hanya akan bertahan sampai episod tiga sahaja. Tetapi disebabkan rancangan ini bukan kita bermain seorang, jadi saya dapat bertahan hingga ke episod akhir.

“Ada satu episod, Dr Say kata saya lemah. Saya ingat kata-kata itu dan jadikan perkara tersebut sebagai pembakar semangat. Saya beritahu Hakimi saya akan buktikan saya bukan lemah,” katanya kepada Kosmo! online.

Tambah Ikmal lagi, kemenangan ini sekali gus dapat menutup mulut segelintir pihak yang merasakan gandingannya bersama Hakimi hanya menjual ‘muka’ semata-mata pada program tersebut.

“Rezeki Allah yang bagi. Bukan orang luar yang tentukan. Anda tidak tahu apa usaha yang kami telah lakukan. Kami berlatih bersusah payah untuk mendapatkan gelaran ini.

“Bila di sini, kami bukan nak main-main atau kejar glamor. Kami letak sepenuh hati di sini,” ujarnya.

Bagi Hakimi pula, dia mengakui sejak episod pertama lagi ramai meragui kemampuan dirinya dan Ikmal kerana kerjaya mereka sebagai seorang model dan pelakon.

“Ramai orang berkata boleh ke pelakon dan model buat cabaran fitness. Tetapi apa yang saya boleh katakan, Tak kisahlah siapa pun anda dalam dunia ini, jika anda berusaha keras dan lakukan pengorbanan pasti boleh berjaya,” ujarnya.

Hakimi juga telah memotong rambut panjangnya sebagai nazar di atas kemenangan yang diraih.

“Lima tahun saya simpan rambut panjang. Sebelum episod akhir Ikmal ada beritahu saya, katanya jika saya mahukan sesuatu benda cuba bernazar. Jadi saya bernazar jika saya menang saya nak potong rambut,” kongsinya. –  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI