PETALING JAYA – Sering disangka anak orang berada, pelakon Sweet Qismina mendedahkan perjalanan hidupnya berubah selepas pemergian bapa tersayang, Allahyarham Supandi Mohammad ketika berusia 11 tahun.
Sweet atau nama lengkapnya Farhanna Qismina Supandi, 28, mengakui keluarganya pernah menikmati kemewahan sebelum diuji dengan kesusahan.
“Saya tidaklah tinggal di banglo atau lahir dalam keluarga berada.
“Tetapi ayah saya sediakan kehidupan yang selesa. Alhamdulillah, saya pernah rasa kehidupan sebagai golongan T20.
“Tapi semua itu hanya untuk 11 tahun sahaja. Selepas ayah meninggal, saya, ibu dan keluarga terpaksa berjuang semula,” katanya menerusi audio siar yang dihoskan pelakon Amelia Henderson.
Lebih teruk, pelakon filem Babah itu mengakui turut diejek orang sekeliling kerana tinggal di rumah kedai.
“Ada yang pernah berkata, ‘awak ini acah-acah berlakon macam banyak duit tapi duduk rumah kedai.’
“Ya, memang betul saya pernah tinggal di rumah kedai dulu,” luahnya.
Menariknya, Amelia yang mengendalikan sesi itu turut berkongsi pengalaman hampir sama dengan Sweet.
“Saya membesar dalam rumah kedai juga.
“‘Shop house girl!’ Tetapi lihatlah siapa kami sekarang,” tuturnya.
Rata-rata netizen bersimpati serta memuji keberanian isteri kepada pelakon Adam Lee itu menceritakan pengalaman hidup tanpa berselindung.
Malah, ada juga yang berkongsi kisah serupa.
“Saya pun pernah hidup susah, kisah Sweet buat saya lebih bersyukur,” kata seorang netizen.
“Bukan tempat tinggal yang tentukan kejayaan, usaha dan semangat lebih penting,” ujar pengguna media sosial.
“Sweet dan Amelia inspirasi, tidak malu mengaku realiti hidup. Salute!,” kongsi netizen itu. – KOSMO! ONLINE