BEIJING – Seorang wanita terkejut apabila mercun yang disangka gula-gula meletup di dalam mulutnya, lapor portal berita Must Share News semalam.
Kejadian berlaku di wilayah Sichuan, China semasa perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Wanita dikenali sebagai Wu berkata, abangnya membawa pulang gula-gula berperisa susu yang sering dimakan sejak kecil.
Tanpa ragu-ragu, Wu memasukkan gula-gula itu ke dalam mulutnya.
“Saya terkejut apabila ia meletup secara tiba-tiba.
“Letupan kecil itu membuatkan mulut saya kebas dan meninggalkan bau bahan letupan,” tambah Wu.
Wu tidak mengalami kecederaan serius dan boleh makan serta memberus gigi seperti biasa. – AGENSI