KUALA LUMPUR – Sukan hoki di Malaysia masih dilihat mempunyai masa depan untuk menyinar di pentas antarabangsa meskipun keputusan terutamanya di peringkat remaja tidak begitu memberangsangkan sejak kebelakangan tahun ini.
Pandangan itu disuarakan oleh bekas pemain hoki remaja kebangsaan, Vijayaraj Kanniah yang beranggapan ia masih boleh dilonjakkan ke tahap lebih tinggi bagi menyamai standard sebenar hoki Malaysia selama ini.
Biarpun keringatnya di atas padang bersama pasukan kebangsaan tidaklah lama tetapi beliau yang mesra disapa sebagai Vijay itu sentiasa mengambil tahu mengenai prestasi hoki tanah air.
Apatah lagi beliau juga adalah adik kepada dua legenda kebangsaan iaitu K. Embaraj dengan status antara pakar sudut penalti terbaik dunia sewaktu era 90-an dan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang pernah diangkat sebagai Jurulatih Lelaki Terbaik Anugerah Sukan Malaysia 2013.
Bagi Vijay, hoki Malaysia pernah dianggap antara pencabar gergasi-gergasi dunia satu ketika dahulu sebelum tergelincir daripada landasan sepatutnya dan kini perlu segera kembali ke tahapnya yang sebenar.
“Piala Dunia Hoki Remaja tahun ini (diadakan di Chennai, India pada Disember) perlu menjadi batu loncatan untuk pemain-pemain (remaja). Prestasi yang sebenar harus ditunjukkan untuk meraih keputusan positif.
“Edisi sebelum ini (Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Kuala Lumpur) tidak begitu bagus, jadi saya fikir edisi kali ini adalah peluang terbaik untuk menebusnya.
“Ia amat penting kerana merekalah yang akan menjadi masa depan buat skuad senior nanti. Saya berpandangan kita tidaklah terlalu ke belakang dan masih ada peluang untuk mengubahnya,” kata Vijay.
Biarpun Vijay beraksi bersama skuad remaja dari 1991 hingga 1992 tetapi beliau pernah dianggap antara permata dalam pembikinan sehinggakan nama dan wajahnya sering terpampang di dada akhbar-akhbar tempatan ketika itu.
Bagaimanapun, Vijay membuat keputusan berat meninggalkan karier hoki apabila ‘terjun’ ke lapangan berbeza daripada sukan ke dunia perbankan selain turut bergelar peguam dan notari awam jika dibandingkan dengan dua abangnya terutama Dhaarma.
Dhaarma mencipta pelbagai sejarah hoki tanah air bermula mengemudi Skuad Projek 2013 meraih tempat keempat Piala Dunia Hoki Remaja 2013 sebelum dilantik ketua jurulatih Speedy Tigers dan seterusnya pasukan wanita sehinggalah kini berperanan selaku Pengarah Teknikal Federasi Hoki Indonesia.
“Impian saya mahu memainkan peranan dalam pembangunan hoki. Secara peribadi saya masih boleh bermain tetapi kerana risaukan keadaan lutut, jadi saya fokus kepada peranan di luar padang.
“Walaupun saya sudah berhijrah ke bidang professional tetapi saya masih beri semula apa yang saya terdaya kepada sukan. Jika diberikan peluang, saya sudi sumbangkan lebih kepada sukan terutamanya pembangunan hoki,” kata Vijay.
Sebagai rekod, Vijay yang sudah mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Medlina Lubiren di Tambunan, Sabah tetap bergiat aktif bersama pasukan hoki peguam Malaysia sejak 2003 sehingga dinamakan sebagai penerima Anugerah Personaliti Sukan Malaysian Bar 2020.
Kini beliau memikul tanggungjawab sebagai ketua jurulatih skuad berkenaan menghadapi Bench & Bar Games dan masih bermain bersama pasukan veteran.
Selain itu, beliau juga melakukan pelbagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) antaranya menganjurkan Piala Visioon Business Solutions Sdn. Bhd. (VBS) di Sabah selain turut menghargai ramai bekas atlet kebangsaan menerusi Anugerah Sukan VBS CSR.
Menerusi inisiatif itu, bekas pemain pertahanan skuad bola sepak kebangsaan, A. Jayakanthan menjadi penerima keempat Anugerah Sukan VBS CSR pada tahun lalu selepas Dhaarma (2019), Paul Lopez (2022)dan Iman Gobinathan (2023). – KOSMO! ONLINE