PETALING JAYA – Saksi pendakwaan ke-10 memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Ismanira Abdul Manaf yang juga ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin ada memaklumkan kepadanya kanak-kanak autistik itu telah hilang pada 5 Disember 2023.
Nasimah Abu Bakar, 33, yang merupakan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) tempat Zayn Rayyan bersekolah berkata dia mengetahui mengenai kejadian Zayn Rayyan hilang selepas mengetahuinya daripada grup WhatsApp yang kemudian beliau sendiri menghubungi Ismanira.
“Pada pukul 4.30 petang saya dimaklumkan Zayn Rayyan hilang. Saya kemudiannya terus menghubungi Ismanira untuk dapatkan kepastian betul atau tidak Zayn hilang dan ibunya menjawab “Ya betul Zayn hilang, lari berdesup”, kata saksi itu.
Kata saksi itu, ketika dia menghubungi semula Ismanira sekali lagi pada 6 Disember 2023, wanita itu ada mengatakan anak sulungnya pernah hilang di Taman Metropolitan Kepong yang mana Zayn Rayyan lari.
Terdahulu saksi itu yang juga pembantu saksi pendakwaan kesembilan berkata, berdasarkan pengamatannya, Zayn Rayyan seorang kanak-kanak autistik yang tidak banyak karenah dan tidak bermasalah.
Sementara itu, saksi itu turut menafikan beliau diugut polis semasa prosedur siasatan berikutan dipanggil lebih lima kali oleh polis bagi memberi keterangan,
Sebaliknya, beliau beranggapan perkara itu sebahagian daripada prosedur siasatan.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi pada 17 Februari ini.
Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE