fbpx

Glass Animals turun KL lebih teruja nak makan nasi lemak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Glass Animals tidak sabar bertemu peminat di Zepp KL 21 Februari ini. – LIVE NATION MALAYSIA

CUKUP dikenali menerusi lagu hit global, Heat Waves, kumpulan indie rock asal United Kingdom, Glass Animals teruja bakal berkunjung ke Kuala Lumpur bagi melunaskan persembahan Tour of Earth 21 Februari ini bertempat di Zepp KL. 

Menariknya selain tidak sabar bertemu peminat di negara ini, kugiran yang dianggotai Dave Bayley, Drew MacFarlane, Edmund Irwin-Singer dan Joe Seaward itu juga tidak sabar untuk mencuba bermacam jenis juadah enak termasuk nasi lemak. 

HibGlam berpeluang menemu bual kumpulan tersebut baru-baru ini dan berikut merupakan perkongsian eksklusif buat seluruh pencinta muzik mereka. 

HIBGLAM: Masuk tahun 2025, mungkin ada pengajaran 2024 yang boleh kalian kongsi?
GLASS ANIMALS: Banyak perkara yang kami belajar tahun lalu. Pertama, jangan fikir nak buat konsert jelajah selepas seminggu melancarkan album (ketawa). Penat dan banyak kerja perlu dilakukan. Kedua, pastikan kita luangkan masa untuk bikin atau rakam muzik. Muzik adalah benda yang membuatkan hidup kita ‘berjalan’. Jangan pernah hilang itu dalam genggaman. Senang cerita, jangan buat terlalu banyak perkara dalam satu masa. Ketahui limitasi anda dan sentiasa fokus perkara paling penting untuk diri kita.

Heat Waves satu-satunya lagu kalian berjaya menduduki tangga teratas Billboard Hot 100. Semestinya peminat mengharapkan karya hit lagi selepas ini. Adakah itu buat kalian rasa tertekan?
Kami sendiri tak percaya lagu ini berada di kedudukan nombor satu. Sampai sekarang masih rasa bertuah. Sangat hebat apabila lagu yang kami cipta di bilik tidur boleh memberi impak kepada berjuta pendengar di seluruh dunia. Kami cipta lagu ini dari hati, ilham datang begitu sahaja. Tiada tekanan dan sebagainya.
Respons baik pendengar jadi pemangkin semangat kami untuk terus menghasilkan karya hit yang boleh dinikmati semua orang. Mungkin boleh mengulangi kejayaan Heat Waves, namun apa yang penting terus buat apa yang kami suka.

Sebagai pengkarya bagaimana kalian mengatasi masalah ‘writer block’?
Kami pun selalu bimbang tentang masalah ini. Apa yang kami praktis adalah berehat jika tiada mood untuk menulis. Gunakan masa senggang dengan menyerap tenaga agar dapat kembali berkarya. Mungkin boleh cuba ke pameran seni, bersatu dengan alam (brisk walk), baca buku, tengok wayang atau keluar menonton persembahan band. Apa-apa yang beri inspirasi, tolonglah lakukannya. Dengan cara itu, minda kreatif kita akan kembali berfungsi dan bersedia semula untuk menulis.

Apa perkara yang kalian tidak sabar mahu lakukan apabila berkunjung ke Kuala Lumpur?
Kami suka makan. Sudah semestinya kami teringin makan nasi lemak. Sebelum ini kami selalu dengar keenakannya daripada orang lain. Saya belajar masak rendang baru-baru ini dan saya juga peminat tegar laksa. Bagaimanapun, saya yakin rasanya pasti berbeza di Malaysia. Tolong beritahu mana saya boleh rasa makanan sedap di Malaysia, saya nak rasa semuanya.

Bikin album studio pastinya bukan mudah dan amat memenatkan. Bagaimana kalian mendepani segala tekanan dan terus bersemangat sehingga kini?
Banyak kekangan ketika buat benda yang kami suka. Antaranya, kami sendiri banyak buang masa dalam media sosial. Sebagai artis, ada konten yang perlu dilunaskan, kadang-kadang itu mengganggu fokus kami dalam penghasilan album dan sebagainya. Bukan senang mencari titik keseimbangan. Kami suka buat muzik dan lagu cuma kadang-kadang mencari masa menyiapkannya itu yang payah.

Album terbaharu kalian berjudul I Love You So Fucking Much boleh disifatkan sebagai khazanah berharga. Apa trek kegemaran peribadi kalian?
Saya gembira anda menyukai album kami. Lagu kegemaran peribadi kami Lost in the Ocean. Lagu tersebut menenangkan dan merupakan trek terakhir dalam album. Lost in the Ocean macam satu pelukan selepas segala ‘chaos’ (kekacauan).

Soalan terakhir, mungkin ada kolaborasi impian dengan mana-mana artis yang belum terlaksana?
Ada ramai penyanyi baharu hebat popular sekarang antaranya, Sam Austins, Royelotis, Mallrat dan Ratbag. Mereka sangat berbakat, kami sangat teringin berkolaborasi. Mungkin akan jadi kenyataan suatu hari nanti. Siapa tahu.

​​Tiket untuk menyaksikan konsert Tour of Earth masih boleh didapatkan menerusi:
www.livenation.my.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI