SEPANG – Pelumba uji Aprilia, Lorenzo Savadori kini memikul tanggungjawab besar selepas menggantikan juara dunia, Jorge Martin dalam ujian rasmi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Martin terpaksa diketepikan daripada baki dua hari ujian selepas mengalami kemalangan serius kelmarin yang menyebabkan dia mengalami patah tulang di beberapa bahagian dan kini kembali ke Eropah untuk menjalani pembedahan.
Sebagai pelumba ujian rasmi Aprilia, Savadori segera mengambil alih tugas tersebut dengan fokus menguji dan membangunkan jentera pasukan.
“Kami tidak menggunakan jentera ujian saya, tetapi jentera rasmi pelumba. Kami mencuba aerodinamik yang berbeza serta sistem elektronik baharu.
“Fokus utama bukan pada prestasi, tetapi untuk memahami dan membangunkan jentera dengan lebih baik.
“Beberapa komponen ini pertama kali diuji di sini kerana sesi shakedown sebelum ini terlalu singkat untuk mencubanya,” jelas Savadori.
Savadori turut memuji peningkatan jentera Aprilia, khususnya dari segi keupayaan brek dan kestabilan jentera.
“Jentera ini satu langkah ke hadapan berbanding versi sebelumnya. Sistem brek menunjukkan penambahbaikan walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki. Namun, ini langkah kecil ke arah yang betul,” tambahnya.
Selain Martin, pelumba Trackhouse, Raul Fernandez turut mengalami kemalangan dalam insiden berasingan kelmarin sekali gus menyebabkan Aprilia kehilangan separuh daripada barisan pelumbanya dalam ujian kali ini.
Meskipun berdepan cabaran besar, Aprilia kekal optimis dan komited dalam usaha membangunkan jentera lebih kompetitif bagi menghadapi saingan MotoGP 2025. – AGENSI