VALENCIA – Penyerang Barcelona, Ferran Torres menjaringkan hatrik dalam tempoh 30 minit pertama untuk membantu pasukannya membelasah Valencia 5-0 dalam aksi suku akhir Piala Raja Sepanyol di Stadium Mestalla awal pagi semalam.
Torres membuka jaringan seawal minit kedua sebelum menggandakan kelebihan Barcelona pada minit ke-17 apabila menyambar bola muntah selepas percubaan Lamine Yamal terkena tiang.
Fermin Lopez menambah gol ketiga lima minit kemudian menerusi serangan balas pantas sebelum Torres melengkapkan hatriknya pada minit ke-30 dengan rembatan dari luar kotak penalti untuk memberikan Barcelona kelebihan empat gol.
Barcelona memperlahankan rentak tetapi Yamal memastikan kemenangan bergaya dengan gol kelima pada minit ke-59 akibat kesilapan penjaga gol Valencia, Stole Dimitrievski yang gagal menangkap bola dengan kemas sehingga terbias masuk ke dalam gawangnya.
Kemenangan itu memastikan Barcelona mara ke separuh akhir, menyertai Real Madrid, Atletico Madrid dan Real Sociedad dengan undian dijadualkan berlangsung pada Rabu ini.
“Saya benar-benar berharap Valencia mendapat nasib yang baik kerana di luar padang, saya hanyalah seorang penyokong seperti yang lain. Sukar melihat kelab zaman kanak-kanak anda, kelab yang anda cintai, melalui saat sukar seperti ini,” kata Torres.
Kenyataan tersebut susulan Torres memilih untuk langsung tidak meraikan jaringan sebagai tanda hormat kepada kelab berkenaan.
Aksi itu adalah kali kedua dalam tempoh kurang dua minggu Barcelona menentang Valencia selepas terdahulu menang besar 7-1 dalam saingan La Liga menentang pasukan itu yang kini berada di tangga kedua tercorot dan berjuang untuk mengelak penyingkiran. – AGENSI
CAPTION