LONDON – Perasaan belas ihsan tidak pernah wujud dalam diri pengurus Manchester City, Pep Guardiola menjelang aksi pusingan keempat Piala FA menentang pasukan dari divisyen ketiga, Leyton Orient di Brisbane Road malam ini.
Walaupun wujud jurang terlampau besar antara kedua-dua pasukan, namun Guardiola tetap akan menurunkan barisan terbaik termasuklah idea untuk memberikan debut kepada pemain-pemain baharu yang dibawa masuk.
Walaupun dalam keadaan dilema kerana bakal menentang Real Madrid pada aksi playoff Liga Juara-Juara Eropah, Guardiola sesekali tidak akan menggadaikan pertandingan itu dan sedia untuk berkenduri gol seperti membelasah Salford City 8-0 di pusingan ketiga sebelum ini..
“Saya benar-benar mahu menurunkan pemain terbaik di posisi tengah. Saya fikir apabila kamu menurunkan pemain terbaik, kami akan tampil lebih bagus dan mampu menikmati perlawanan.
“Saya mahu kami mengawal bola sehabis baik yang kami mampu dan saya harap penyokong juga akan menikmati perlawanan ini,” katanya.
Penjaga gol kedua, Stefan Ortega dijangka terus memainkan peranannya sebagai benteng terakhir, namun Guardiola mungkin merehatkan John Stones dan Josko Gvardiol bagi menggandingkan Abdukodir Khusanov dan Rico Lewis di posisi pertahanan.
Keputusan kali ini juga akan berpaksikan kepada dua pemain baharu, Vitor Reis dan Nico Gonzalez, manakala Omar Marmoush dilihat sebagai pilihan tepat untuk mengetuai jentera serangan sekiranya Erling Haaland direhatkan. – AGENSI