fbpx

Kabinet trofi Spurs terus ‘berhabuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RICHARLISON (tengah) terpaksa menerima rawatan sebelum dikeluarkan pada separuh masa pertama menentang Liverpool. - AFP

LIVERPOOL – Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou mengibarkan bendera putih selepas gagal menandingi kehebatan Liverpool apabila dibelasah 0-4 pada separuh akhir kedua Piala Liga Inggeris (EFL) di Anfield awal pagi semalam.

Kekalahan itu meleburkan impian Spurs untuk menjulang trofi pertama dalam tempoh 17 tahun selepas menjuarai Piala EFL pada 2008 meskipun menang 1-0 ke atas Liverpool sewaktu separuh akhir pertama awal bulan lalu.

Tanpa berselindung, Postecoglou, 59, mendakwa pasukannya yang ‘tempang’ tanpa ramai pemain utama disebabkan masalah kecederaan menjadi punca utama mereka kempunan untuk mara ke final musim ini.

Situasi kecederaan dihadapi Spurs semakin parah apabila penyerangnya, Richarlison terpaksa dikeluarkan sebelum tamat babak pertama dan digantikan oleh pemain pinjaman baharu dari Bayern Munich, Mathys Tel.

“Mereka (Liverpool) terlalu bagus dan kami juga tidak memulakan perlawanan dengan langkah yang betul. Kami membenarkan mereka untuk berasa selesa dan selepas itu ia sukar untuk kami merampas semula penguasaan.

“Sebenarnya kami mempunyai peluang yang baik (selepas menang 1-0 separuh akhir pertama) tetapi malangnya kami tidak merebutnya.

“Ada banyak lagi yang perlu kami usahakan tahun ini. Sekarang kami perlu lupakan hari ini dan fokus aksi besar seterusnya menentang (Aston) Villa untuk aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad ini (awal pagi Isnin),” kata Postecoglou.

Spurs yang memenangi aksi separuh akhir pertama awal bulan lalu hasil jaringan kontroversi Lucas Bergvall, terpaksa akur gagal ke pentas final Piala EFL menentang Newcastle United di Stadium Wembley bulan depan.

Empat gol Liverpool dalam aksi timbal balik kedua itu dijaringkan oleh Cody Gakpo, Mohamed Salah, Dominik Szoboszlai dan Virgil van Dijk. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI