PETALING JAYA – Setelah mendapat nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian, Johor.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perlaksanaan PKPD tersebut akan dilaksanakan bermula 23 Januari sehingga 5 Februari 2021.
“KKM hari ini melaporkan situasi Covid-19 di Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian. Sehingga 21 Januari 2021, KKM telah melaksanakan 360 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 177 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan masuk tahanan dari luar serta mengelakkan penularan jangkitan kepada staf, keluarga serta komuniti luar,” jelasnya melalui satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE.