PONTIAN – Seorang kakak merayu bantuan orang ramai mencari adiknya, Roslina Mohd. Alwey, 58, yang dilaporkan hilang di Pontian pada 3 Februari kini dipercayai berada di bandaraya Kuala Lumpur.
Masripah Mohd. Alwey, 62, berkata, ada orang awam telah menemui adiknya berlegar-legar di Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu (TBS) pada 4 Februari, namun selepas itu dia telah gagal ditemui. .
“Kami menerima gambar Roslina daripada seseorang di TBS yang tular di media sosial pada pagi 5 Februari, saya terus meminta anak saya yang berada di Kuala Lumpur menemui emak saudaranya di TBS.
“Namun dia dikatakan telah keluar daripada TBS dan tidak diketahui kemana Roslina telah pergi,” katanya ketika dihubungi berada di Kuala Lumpur pagi hari ini.
Tambah Masripah, dia dan suami, Seraj Yusof, 65, bersama orang ramai, polis bantuan dan Pengurusan TBS juga telah mencari Roslina sebaik tiba dari Pontian pada petang 5 Februari itu.
“Namun Roslina tidak ditemui dan sebelum itu dikatakan telah ke stesen teksi di terminal tersebut namun tidak menjawab apabila ditanya oleh pemandu teksi kemana nak pergi” ujarnya.
Jelasnya, walaupun sebelum ini Roslina pernah berkerja di Kuala Lumpur, tetapi ketika itu dia masih sihat dan dia hanya mengetahui Terminal Pudu Raya dan tidak tahu mengenai TBS.
Sebelum ini, Kosmo! pada 4 Februari telah melaporkan polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang pada waktu subuh 3 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, wanita tersebut dikenali sebagai Roslina Mohd Alwey, 58, beralamat di No 66, Simpang Tiga, Benut.-KOSMO! ONLINE