fbpx

Bicara Zayn Rayyan: Puan Isma macam menjerit “Zayn ini salah mummy” – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaim Ikhwan dan Ismanira ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh SHIDDIQIN ZON/KOSMO!

PETALING JAYA – Saksi pendakwaan kesembilan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari dia bahawa Ismanira Abdul Manaf yang merupakan ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, seolah menjerit “Zayn ini salah mummy”.

Siti Aminah Nor Mad Ali, 40, yang merupakan guru pendidikan khas itu berkata, kata-kata ibu Zayn Rayyan itu didengar ketika beliau dan pihak sekolah melawat penjaga Zayn Rayyan di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember 2023.

Saksi itu berkata pada tarikh itu, beliau dan pihak sekolah ke rumah ibu dan bapa Zayn Rayyan bagi memberi sokongan dan semangat berikutan kehilangan kanak-kanak tersebut.

“Sewaktu di rumah itu, nenek Zayn, guru besar dan puan Isma (Ismanira) ada. Waktu itu nenek Zayn cuba menenangkan puan Isma sebab dia kelihatan seperti trauma. Tiba-tiba saya dengar puan Isma macam menjerit “Zayn ini salah mummy”. Saya dan guru besar rasa terkejut tapi saya anggap perkara itu (macam menjerit) adalah sebab terlalu sedih,” kata Siti Aminah.

Siti Aminah Nor berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz.

Terdahulu saksi itu yang juga guru yang mengajar Zayn Rayyan di sebuah sekolah itu memaklumkan meskipun Zayn Rayyan seorang autisme, kanak-kanak itu tidak banyak karenah, berkebolehan mendengar arahan dan merupakan autisme yang pasif serta tidak aktif.

“Arahan itu contohnya, Zayn pergi pakai kasut, Zayn ambil beg sekolah. Zayn juga tidak pernah menyakiti hati kawan-kawan di dalam kelas dan Zayn juga senang diurus ketika di sekolah. Sepanjang di sekolah juga Zayn tidak aktif seperti lari, mengetuk dinding dan tidak sakitkan kawan lain seperti menggigit,” kata kata saksi itu lagi.

Mengulas lanjut, saksi itu berkata kali terakhir dia melihat Zayn Rayyan pada pukul 12.05 tengahari pada 5 Disember 2023 yang mana kanak-kanak itu bersama ibunya menaiki motosikal semasa pulang dari sekolah.

“Pada pukul 11.55 pagi, saya ada arahkan Zayn dan murid yang lain (yang juga autisme) mengemas permainan atau alatan tulis. Kemudian saya dan seorang lagi pembantu (pengurusan murid) pimpin tangan dia ke pagar sekolah untuk dihantar kepada ibunya. Tapi hari itu ibunya datang lewat sedikit dalam pukul 12.05 tengahari.

“Selepas itu saya melihat Zayn sendiri naik motosikal dengan ibunya dan berlalu pergi. Ae Sebelum itu pembantu saya sempat menegur topi kelendar yang dipakai Zayn yang nampak menarik,” katanya lagi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi petang ini.

Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI