TANJUNG MALIM – Proton secara agresif memulakan pembinaan kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) dengan pelaburan fasa pertama berjumlah RM82 juta di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, fasa pertama kilang itu dijangka siap pada akhir tahun ini dengan kapasiti pengeluaran awal sebanyak 20,000 unit setahun.
Katanya, kilang tersebut akan menghasilkan pelbagai model berdasarkan platform Struktur Modular Global (GMA) bermula dengan Proton e.MAS iaitu model EV pertama Proton.
“Sasaran kami adalah untuk memulakan pengeluaran model EV tempatan menjelang akhir 2025, seiring dengan perpindahan penuh operasi pembuatan Proton ke Tanjung Malim dan AHTV.
“Ini merupakan pencapaian penting bagi kawasan ini,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Kilang Pengeluaran Kenderaan Elektrik (EV) Proton di sini hari ini.
Beliau berkata, fasiliti baharu itu akan mengaplikasikan pelbagai teknologi pembuatan pintar bagi memastikan kualiti produk yang tinggi dengan kecekapan maksimum serta kesan minimum terhadap alam sekitar.
“Garis pengeluaran ini menggunakan automasi tahap tinggi termasuk robotik, pengurusan kilang berasaskan awan, Internet Kebendaan (IoT) dan teknologi berkaitan Revolusi Industri 4.0.
“Walaupun beroperasi dengan teknologi pengeluaran pintar kilang baharu ini dijangka mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan baharu dalam sektor perindustrian EV untuk komuniti tempatan.
“Ini belum termasuk kesan kepada vendor AHTV yang akan meningkatkan operasi mereka bagi membekalkan komponen utama untuk pemasangan EV. Fasa kedua akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 45,000 unit setahun dan akan dilaksanakan berdasarkan permintaan di pasaran Malaysia dan luar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE