TANJUNG MALIM – Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di sini merupakan tranformasi menyeluruh bagi industri automatif negara ini yang bakal menjadi hab utama bagi pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di Asia Tenggara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaburan bernilai RM40 bilion daripada Geely dan DRB-HICOM telah mengukuhkan kedudukan AHTV sendiri sebagai hab automotif utama di Asia Tenggara.
“Keputusan Proton untuk memindahkan sepenuhnya operasinya dari Shah Alam ke Tanjung Malim menjelang 2027 akan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan industri ini.
“Impak ekonomi daripada pembangunan ini tidak hanya tertumpu di AHTV sahaja. Bandar-bandar berhampiran seperti Tanjung Malim, Behrang, Bidor, Sungkai dan Tapah bakal mengalami pertumbuhan pesat dengan peningkatan keperluan perumahan, pusat komersial, institusi pendidikan serta pelbagai sektor perkhidmatan lain,” katanya dalam ucapannya di Proton Tanjung Malim hari ini.
Beliau berucap sedemikian pada Majlis Pecah Tanah Kilang Pengeluaran Kenderaan Elektrik (EV) Proton di sini.
Menerusi pelaburan RM82 juta, fasa pertama pelan pemasangan EV Proton disasarkan siap pada akhir 2025 dengan kapasiti pengeluaran awal 20,000 unit setahun.
Setelah siap, ia akan menghasilkan pelbagai model berdasarkan platform Struktur Modular Global (GMA) bermula dengan Proton e.MAS 7, model EV pertama jenama automotif negara. – KOSMO! ONLINE