BERA – Gara-gara seekor lembu, nyawa seorang lelaki melayang selepas motosikal ditungganginya melanggar haiwan berkenaan yang melintas jalan di perkampungan Felda Triang 1 di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.55 malam itu mangsa Muhammad Sulaiman Tahir,25, dalam perjalanan dari arah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bera menghala ke simpang utama Triang Dua.
“Apabila sampai di tempat kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash telah melanggar lembu yang melintas jalan.
“Akibat kejadian mangsa yang merupakan pekerja ladang mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zulkiflee, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan mangsa melanggar lembu dan siasatan masih giat dilakukan. – KOSMO! ONLINE