PETALING JAYA – “Tugas kakak hanya belajar, jadi anak yang baik, jaga adik-adik. Yang lain mak cik uruskan okay? Janji pergi sekolah?”
Demikian permintaan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kepada remaja perempuan berusia 14 tahun di Pagoh, Johor yang berhasrat berhenti sekolah demi menjaga keluarganya.
Remaja itu dalam keadaan serba salah untuk meneruskan persekolahan kerana bimbangkan bapanya tiada pekerjaan tetap selepas kemalangan, manakala ibunya sedang uzur.
Pelajar perempuan yang merupakan anak sulung itu merancang untuk bekerja kerana gusar keluarganya akan dihalau keluar akibat tidak mampu membayar sewa rumah.
“Kakak mengangguk senyum. Saya keluar dari rumah ini dengan mata yang berkaca-kaca. Anak ini anak yang baik dan merasa sangat bertanggungjawab menjaga keluarga.
“Tugas kita jelas. Beban itu harus kita ambil. Biarkan anak ini dapat belajar dengan tenang tanpa memikirkan masalah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau ke Pagoh setelah dimaklumkan oleh Ketua Cabang parti itu ada sebuah keluarga di situ memerlukan perhatian beliau.
Katanya, selepas mengetahui permasalahan dihadapi keluarga remaja perempuan itu, beliau menyelesaikan sewa rumah mereka selama setahun dan memberi sumbangan persiapan ke sekolah.
“Terima kasih Cabang Keadilan Pagoh yang sangat prihatin. Jika ahli parti memerlukan pimpinan turun ke bawah menyelesaikan masalah rakyat, itulah tanggungjawab kita sebagai pemimpin parti. Turun dan selesaikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE