IPOH – Pertemuan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang dijangka berkunjung ke Malaysia pada minggu depan adalah signifikan dalam usaha memulihkan Gaza.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin malah menyifatkan kedua-dua mereka adalah sahabat baik dan merupakan pemimpin yang lantang bersuara mewakili dunia Islam.
Katanya pertemuan itu tepat pada waktunya setelah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pelan untuk mengambil alih semenanjung Gaza.
“Saya fikir ini adalah waktu yang sangat penting setelah Trump mengumumkan pelan yang pada saya tidak masuk akal.
“Saya percaya pertemuan antara kedua-dua pemimpin (Anwar dan Erdogan) utama dan besar ini yang juga sabahat lama, tentutnya akan memberi impak yang sangat signifikan terhadap ikhtiar masyarakat antarabgsa bagi mencari jalan untuk menjayakan pembangunan semula Gaza ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mewakili Perdana Menteri untuk merasmikan majlis peluncuran Skim Rumah Ibu di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE