SEBERANG PERAI – Dua lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api di perairan Perai bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan salah seorang daripada mereka tidak faham pertuduhan yang dibaca dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Februari depan untuk pertuduhan dibacakan semula dengan kehadiran jurubahasa Indonesia.
Mengikut pertuduhan, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang mempunyai pertalian keluarga itu tiba di mahkamah dengan dikawal anggota polis pada pukul 8.30 pagi.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan senjata api yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap di negeri ini selepas menahan empat lelaki dalam sebuah bot di perairan Perai. -KOSMO! ONLINE