fbpx

Permohonan UPUOnline Fasa 1 dibuka Isnin depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Permohonan kemasukan pelajar sesi akademik 2025/2026 melalui platform UPUOnline akan dibuka bermula 10 Februari hingga 14 Mac 2025 bagi Fasa Pertama.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataannya hari ini berkata, Fasa Kedua pula akan dibuka bermula 14 April hingga 18 Mei 2025.

Menurut KPT, permohonan terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf yang ingin melanjutkan pengajian ke program asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda di 20 universiti awam (UA), 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti serta dua institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT).

“Semua program pengajian boleh dipohon bagi Fasa Pertama, manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga dan atau ujian dibuka pada permohonan Fasa Kedua.

“Pembelian Nombor Pin UPUOnline boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di 350 Kaunter Cawangan BSN, 700 mesin pengeluaran wang automatik BSN dan Perbankan Internet myBSN mulai 9 Februari 2025 sebelum mengemukakan permohonan.

“BSN akan mengeluarkan Nombor Pin berserta salinan resit pembayaran. Pemohon juga diminta untuk memastikan slip pembayaran disimpan untuk rujukan sebagai bukti sah pembelian,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, semua calon berkelayakan dijemput untuk memanfaatkan peluang ini kerana sebanyak 350 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM, manakala 1,131 program disediakan untuk lepasan STPM atau setaraf di institusi seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh menghubungi Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Aras 4, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, 62000 Putrajaya atau hubungi talian 03-8684 2363 selain emel di [email protected]. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI