fbpx

Op Sky: 3 selebriti sudah dirakam percakapan semalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sudah merakam percakapan tiga selebriti termasuk seorang penyanyi terkenal tanah air bagi membantu siasatan berhubung Op Sky melibatkan pinjaman peribadi penjawat awam.

Menurut sumber, ketiga-tiga selebriti terlibat hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi memberi maklumat dan membantu siasatan kes berkenaan, semalam.

Katanya, ketiga-tiga selebriti berkenaan tiba di Ibu Pejabat SPRM pagi semalam melalui pintu utama dan bukan mengikuti pintu belakang seperti mana yang dilaporkan oleh pihak media.

“Setakat ini, SPRM telah selesai mendapatkan maklumat daripada mereka dan fokus sekarang adalah untuk melengkapkan siasatan.

“Mereka hadir pukul 9.30 pagi semalam dan selesai memberi maklumat sekitar pukul 2.30 petang. Buat masa ini juga tiada tangkapan baharu dilakukan,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan ketiga-tiga selebriti berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM semalam bagi melengkapkan siasatan.

Terdahulu Kosmo! melaporkan selebriti dan artis terlibat menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.

SPRM berjaya menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Pembongkaran itu hasil serbuan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia di 24 lokasi sekitar Lembah Klang dengan melibatkan penahanan 12 individu.

Setakat ini, seramai 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta seorang orang awam.

Selain itu, SPRM turut merampas 4,000 dokumen bagi membantu siasatan berhubung sindiket rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan pinjaman bernilai RM700 juta kepada penjawat awam. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI