AMPANG JAYA – Seorang lelaki yang aktif mencuri komponen kenderaan lama di sekitar kawasan Lembah Jaya, Pandan Indah di sini dicekup polis semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.30 petang di Taman Bukit Permai di sini.
“Hasil pemeriksaan di dalam bonet belakang kereta milik suspek menemui barang-barang yang telah dicuri seperti lampu kereta, radio, dan tayar serta beberapa peralatan.
“Modus operandi suspek adalah mencari kenderaan lama yang diparkir di tepi jalan sebelum bertindak membuka kompenan kenderaan berkenaan dan barangan yang dicuri digunakan sendiri atau dijual,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, susulan tangkapan itu pihak polis berjaya menyelesaikan 10 kes di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
“Suspek yang merupakan seorang mekanik juga didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau dalam kes samun dan telah ditahan reman selama empat hari sehingga 25 Januari 2021. Ujian air kencing keatas suspek adalah negatif dadah.
“Kes telah diklasifikasi dibawah seksyen 379(a)(1) Kanun Keseksaan iaitu mencuri kompenan kenderaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan dikenakan hukuman penjara selama tempoh tujuh tahun atau boleh juga dikenakan sebat,” jelasnya. – K! ONLINE