fbpx

‘Macam-macam gambar tak senonoh, mengucap panjang dibuatnya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harris mendedahkan pernah diganggu ramai wanita termasuk dari kalangan rakan artis wanita sendiri. – SADDAM YUSOF

KUALA LUMPUR – Empat tahun melayari rumah tangga bersama pelakon Intan Ladyana, penyanyi dan pengacara Harris Alif mendedahkan pernah berdepan pelbagai godaan daripada wanita lain termasuk rakan industri sendiri.

Pun begitu, Haris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi, 26, memilih untuk tidak melayan sebarang gangguan, apatah lagi menyedari statusnya sebagai suami dan bapa kepada dua cahaya mata.

“Sudah tentu ada gangguan. Tapi semuanya kembali kepada diri sendiri. Kalau kuat menangkis, insya-Allah tidak timbul sebarang masalah.

“Godaan masih ada walaupun selepas berkahwin. Ada yang kata suami orang lebih bertanggungjawab. Malah, ada juga rakan artis yang mencuba nasib.

“Tapi saya ambil pendekatan untuk tidak terlalu melayan. Kalau layan lebih-lebih, nanti menimbulkan masalah pula. Saya sedar status sebagai suami orang, jadi kena kawal diri,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelantun lagu Terindah itu lagi, gangguan paling teruk diterima adalah menerusi mesej langsung (DM) dalam Instagram, termasuk kiriman gambar tidak senonoh daripada wanita tidak dikenali.

“Macam-macam jenis gambar diterima. Mengucap panjang dibuatnya. Kadang-kadang, tidak sedap mata memandang, lebih-lebih lagi apabila dihantar oleh perempuan.

“Ada dalam lingkungan usia 20-an hingga 30-an. Yang remaja pun ada, tapi mungkin mereka tidak menghantar gambar keterlaluan,” dedahnya.

“Bukanlah setiap hari, tapi boleh dikatakan kerap juga. Seram dibuatnya. Setiap kali terima, saya terus padam. Takkan nak simpan pula, kan? Kadang-kadang mereka pun tahu tindakan itu salah, tapi tetap juga menghantar mesej,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Puasa! Raya! RTM 2025 di sini, hari ini.

Enggan perkara tersebut melarat, Harris berkata dia bersikap terbuka dan tidak menyembunyikan apa-apa daripada Intan.

“Saya kongsi semuanya dengan isteri. Bila beritahu, dia cuma gelak.

“Mungkin sebab dia dalam industri, jadi dia lebih memahami. Kalau isteri bukan dalam bidang ini, mungkin akan timbul konflik sebab mereka tidak tahu bagaimana dunia hiburan berfungsi.

“Saya tunjuk semua mesej kepada Intan. Telefon anak pun ada akses ke akaun media sosial saya. Pendek kata, tiada rahsia antara kami,” katanya ketika ditemui pada sidang media Puasa! Raya! RTM 2025 di sini, hari ini.

Harris dan Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, 41, mendirikan rumah tangga pada 5 Februari 2021.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Evie, 2, dan seorang anak lelaki, Umayr yang kini berusia sepuluh bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI