KUALA NERUS – Kerana desakan hidup, seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) fizikal terpaksa mengutip makanan tamat tempoh di kedai runcit dan pasar raya sekitar daerah ini bagi memastikan perut tiga anak dan isterinya terisi.
Jani Yusof, 62, yang mengalami kecacatan pada kaki berkata, pendapatan sebagai pengutip besi buruk bersama isteri, Maznah Abu Bakar, 43, sebanyak RM200 sebulan tidak mencukupi untuk menyara mereka lima beranak.Tiga anak pasangan itu berusia dua hingga lapan tahun.
“Saya terpaksa tebalkan muka kutip produk makanan seperti biskut, serbuk teh, kopi, rempah ratus dan susu pekat manis yang tamat tempoh, tapi masih elok.
“Saya juga akan membawa pulang bawang merah, bawang putih dan telur yang masih selamat dimakan untuk dijadikan lauk harian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Darat Batu Rakit di sini semalam.
Jani berkata, dia menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 dan RM4,000 setahun daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.
Wang simpanannya pula digunakan untuk membina rumah secara ala kadar. Kanvas dan kain rentang yang dikutip di tempat pembuangan sampah dijadikan dinding sementara kerana kekurangan modal.
Kain perca pula digunakan sebagai pemisah tempat tidur dalam rumah tersebut.
Jani mengakui keluarganya kerap kebasahan kerana terkena tempias hujan sepanjang musim tengkujuh.
Lelaki itu merayu kepada mana-mana pihak membantunya membina rumah untuk keselesaan isteri dan anak-anaknya yang masih kecil.
Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Jani bernombor 1110229000203323 atau menghubungi lelaki itu di talian 019-4133790.