Terdapat pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan di klinik kecantikan termasuk menyediakan perkhidmatan V-Shape face (muka berbentuk V ) hingga ke hujung dagu yang tajam, suntikan filler pada rahang bagi mendapatkan dagu runcing, proses tersebut tidak melibatkan pembedahan kosmetik. Apakah hukum rawatan kosmetik tersebut? Mohon pencerahan.
JAWAPAN: Suntikan pada kawasan rahang agar kelihatan runcing atau segala suntikan pada bahagian wajah agar muka berbentuk V (V-Shape face) bagi tujuan kecantikan adalah dilarang. Hukum rawatan kosmetik bertujuan kecantikan yang boleh menyebabkan pengubahsuaian bentuk ciptaan Allah SWT adalah haram.
Suntikan filler pada rahang (jawline creation), dermal filler (pengisian dermal asid hyaluronik (HA) adalah bahan seperti gel disuntik di bawah kulit yang dipilih dengan tepat pada sudut kawasan rahang dan dagu. Ia bagi mencipta rahang yang muda dan tersusun secara estetik.
Dagu yang pendek dapat dibuat untuk kelihatan lebih panjang, lebih jelas dan terbentuk garis rahang.
Filler yang disuntik pada dagu berfungsi untuk memanjangkan dan meningkatkan penampilan wajah sehingga menghasilkan profil wajah lebih seimbang.
Pengisi (filler) yang lebih tebal juga boleh digunakan untuk menambahkan isipadu ke pipi yang tenggelam, membentuk semula hujung hidung.
Sementara itu, bagi mendapatkan muka berbentuk V (V-Shape face), botulinum toxin A boleh disuntik di bahagian muka atau di bawah garis rahang.
Produk pengisi kulit juga telah mula digunakan untuk meremajakan cuping telinga untuk membantu menaikkan cuping dan mengembalikan kepenuhan dan bentuk yang sering memanjang dan kendur dengan proses penuaan semula jadi. Terdapat juga saranan agar pengisi (filler) digunakan bersama dengan dengan suntikan toksin botulinum dalam suntikan (V-Shape face).
Botulinum toxin digunakan sebagai rawatan untuk mengurangkan penampilan kedutan wajah dan garis-garis halus.
Berdasarkan fakta-fakta yang telah dinyatakan, pengisi rahang (jaw filler) dan pengisi (filler) digunakan bersama dengan dengan suntikan toksin botulinum toxin A dalam (V-Shape face) boleh dikatakan penyebab perubahan bentuk muka.
Walaupun proses tersebut tidak melalui pembedahan plastik, namun segala kaedah yang boleh menyebabkan perubahan bentuk muka adalah dilarang.
Perubahan yang menunjukkan kesan drastik serta-merta seperti bentuk dagu menjadi tirus (runcing) mahupun meninggikan bentuk hidung kelihatan berlebihan dalam mendapatkan rawatan kosmetik adalah termasuk dalam larangan mengubah ciptaan Allah SWT.
Merujuk kepada Keputusan Fatwa Kebangsaan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke- 74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006, bersetuju memutuskan supaya negeri-negeri mewartakan fatwa pengharaman suntikan botulinum toxin A (botox cosmetic).
Mengubah ciptaan Allah SWT bermaksud mengubah fitrah yang telah Allah SWT tetapkan pada makhluknya sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-Nya.
Ini berdasarkan dalil; “Tetaplah atas fitrah Allah SWT yang telah menciptakan manusia atas fitrah itu, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.” (Surah al-Rum, 30)
Mengubah ciptaan Allah turut termasuk dalam tipu daya dan hasutan syaitan.
Ini berdasarkan dalil berikut: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.” (Surah an-Nisa’, 119)
Kesimpulannya, setelah meneliti fakta dan dalil yang dibentangkan. Rawatan suntikan filler di rahang bagi mendapatkan dagu runcing, suntikan V-shape face (wajah berbentuk V) mahupun suntikan botox adalah dilarang. Maka, segala kaedah sama ada melibatkan pembedahan plastik atau suntikan yang menyebabkan perubahan daripada bentuk asal hanya bagi tujuan kecantikan adalah haram.
Bahkan, mereka yang menjalankan rawatan menghalang proses penuaan seolah-olah menafikan terhadap fitrah semula jadi yang akan dilalui oleh setiap insan dalam meniti usia lanjutnya.
Justeru, umat Islam tidak sepatutnya melibatkan diri dalam segala jenis rawatan kosmetik untuk kecantikan yang boleh mengubah ciptaan Allah.
Akhir kalam, marilah kita mensyukuri nikmat kurniaan-Nya serta reda dengan rupa dan bentuk fizikal yang telah Allah SWT ciptakan untuk hamba-hamba-Nya.