PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tindakan segelintir pemberi maklumat mendedahkan salah laku mana-mana pihak kepada umum sebelum dibawa kepada pihak berkuasa dikhuatiri boleh mengganggu siasatan.
Perdana Menteri berkata, tindakan mendedahkan maklumat itu boleh menyebabkan individu terlibat ‘dihukum’ secara tidak adil.
“Malah, mereka (pihak terlibat yang didedahkan) dinafikan hak untuk melalui proses siasatan yang adil serta peluang untuk membela diri.
“Pada masa ini undang-undang memperuntukkan bahawa ada rasional untuk pemberi maklumat yang mendedahkan kepada umum kerana semua orang mengatakan bahawa mereka mendedahkan kebenaran.
“Kemudian orang luar akan mengutuk orang itu sebelum kes itu disiasat atau mempunyai peluang untuk menjelaskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan merancang untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi melindungi individu yang membuat pendedahan awam sebelum melaporkan kepada agensi penguatkuasaan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tiada cadangan untuk meminda akta berkenaan dan pemberi maklumat perlu membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan terlebih dahulu dan boleh diberikan perlindungan berdasarkan justifikasi tertentu.