PUTRAJAYA – Selebriti tanah air iaitu Ziana Zain, Datuk Jalaluddin Hassan dan Sheikh Muszaphar Shukor selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berkaitan Ops Sky.
Mereka dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM di sini pada pukul 3 petang tadi dengan menaiki kenderaan masing-masing.
Terdahulu, tiga selebriti itu memberi keterangan selama lebih lima jam kepada SPRM bermula pukul 10 pagi tadi hingga 2.45 petang.
Ketiga-ketiga mereka dipanggil SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan yang ditumpaskan menerusi Ops Sky.
Sebelum ini Kosmo! Online melaporkan siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat bagi tujuan promosi.
SPRM baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan menerusi Op Sky.
Seramai 12 individu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu. – KOSMO! ONLINE