PUTRAJAYA – Cadangan garis panduan khusus berkaitan pembabitan orang Islam dalam sebarang upacara termasuk di rumah ibadat bukan Islam akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok.
Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di sini hari ini.
“(Cadangan garis panduan khusus) itu kita akan bincang di (mesyuarat) Kabinet esok,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memuktamadkan garis panduan berkenaan.
Menurutnya, garis panduan itu antara lain berkaitan penyertaan orang Islam dalam sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Katanya, garis panduan itu akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini. – KOSMO! ONLINE