SEPANG – Permulaan kurang baik buat juara dunia, Jorge Martin apabila mengalami kecederaan serius ketika menjalani sesi ujian rasmi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjelang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2025.
Pelumba Sepanyol itu dua kali terjatuh pada hari pertama kelmarin dengan insiden kedua menyaksikan Martin mengalami kemalangan ‘high side’ sehingga menyebabkan dia dikejarkan ke hospital.
Hasil imbasan yang dilakukan, pelumba Aprilia Racing itu mengalami kecederaan patah tulang di beberapa bahagian dan perlu kembali ke Eropah bagi menjalani pembedahan, sekali gus mungkin terlepas ujian rasmi kedua di Thailand minggu depan.
Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola berkata, kemalangan itu bukan berpunca daripada kesilapan Martin mahupun jentera, sebaliknya beliau menganggap penggunaan tayar Michelin sebagai penyebab utama.
“Memang jelas bahawa ia (tayar) merupakan punca. Bagaimana kemalangan teruk seperti itu boleh berlaku ketika jentera berada dalam keadaan normal dan Martin langsung tidak melakukan sebarang kesilapan.
“Bagi saya, perkara ini amat menarik untuk dibincangkan kerana kedua-dua insiden berkenaan hampir serupa dan kami menggunakan set tayar yang sama jenis. Bagaimanapun, saya tidak mahu mengulas lanjut,” katanya.
Justeru, ketiadaan Martin nanti akan diambil alih penunggang uji, Lorenzo Savadori bagi mengharungi baki sesi ujian dan Rivola meramalkan Martin kembali beraksi pada Grand Prix (GP) Thailand di Litar Buriram nanti.
“Buat masa ini dia perlu berehat di hospital sebelum kembali ke Eropah untuk pembedahan. Kemudian, kita akan memantau keadaannya dan jika bernasib baik, dia mungkin kembali pada GP Thailand,” ujarnya. – AGENSI