SHAH ALAM – Operasi secara besar-besaran akan dilakukan bagi menangkap lembu ternakan yang dibiarkan berkeliaran di Selangor bermula Mei ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim berkata, kajian mendapati sebanyak 4,000 daripada 39,941 ekor lembuj dan kerbau didapati berkeliaran di semua daerah di negeri ini.
Katanya, isu ini mengancam nyawa dengan sebanyak 251 kes kemalangan direkodkan melibatkan lembu termasuk dua mangsa maut dan enam lagi parah di negeri ini pada tahun lalu.
“Justeru, kita tidak akan berkompromi dan akan mula melaksanakan operasi berskala besar secara bersepadu pada Mei nanti.
“Kita memahami keadaan penternak haiwan itu namun mereka perlu mencari jalan untuk mengatasi masalah lembu berkeliaran ini, ” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Jelas Izham, sebagai contoh, penternak yang tiada kawasan tanah boleh membuat permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).
“Selain itu, mereka boleh menyewa tanah dengan pihak swasta untuk menempatkan lembu. Itu adalah tanggungjawab mereka dan bukannya kerajaan negeri,” jelasnya.
Menurut Izham, pihaknya turut bersetuju dengan cadangan meminda Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 termasuk kaedah pelesenan lembu kerbau supaya dapat mengenalpasti pemilik lembu kerbau dengan menggunakan ‘tagging’ atau tanda pengenalan pada setiap lembu dan kerbau.
Namun, kata Izham, tindakan jangka pendek bagi menyelesaikan isu itu antaranya meneruskan operasi penguatkuasaan ke atas pemilik haiwan yang tidak bertanggungjawab. – KOSMO! ONLINE