LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui tersingkir daripada kempen Piala Liga Inggeris (EFL) adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan selepas tewas agregat 0-4 kepada Newcastle United di Stadium St. James Park awal pagi semalam.
The Gunners yang ketinggalan 0-2 apabila tewas pada aksi separuh akhir pertama gagal mempamerkan kebangkitan yang diharapkan apabila tuan rumah menambah jaringan menerusi Jacob Murphy dan Anthony Gordon untuk mara ke final dengan bergaya.
Kata Arteta, sekarang adalah masa untuk barisan pemain melupakan segala kekecewaan dan fokus untuk menjalani kem latihan pusat selama 10 hari yang telah diatur pihak pengurusan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti.
“Ini adalah kekalahan yang sukar untuk diterima kerana kita mempunyai bayangan bahawa pasukan mampu untuk melakar kebangkitan terutama selepas menewaskan Manchester City baru-baru ini.
“Namun, realitinya ia tidak berlaku dan kita terpaksa akur dengan kekuatan pasukan tuan rumah. Sekarang, apa yang boleh kami buat adalah terus memandang ke depan dan menamatkan saingan musim ini dengan cemerlang.
“Selepas ini, kita akan terbang ke Dubai untuk menjalani kem latihan pusat dan harap ia dapat menaikkan semula motivasi pemain nanti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Arteta turut mengesahkan Gabriel Martinelli mengalami kecederaan serius selepas terpaksa dikeluarkan pada babak pertama untuk digantikan dengan Ethan Nwaneri.
“Saya belum menerima laporan lanjut tetapi dimaklumkan Martinelli perlu melakukan ujian imbasan MRI dan selepas itu baru kita tahu berapa lama dia akan disisihkan,” katanya.
Sementara itu, kapten Arsenal, Martin Odegaard mengakui rakan-rakan terkilan apabila gagal menjejakkan kaki ke Stadium Wembley selepas misi untuk mara ke pentas final Piala EFL sejak edisi 2018 tidak kesampaian.
“Kita ada sasaran untuk mara ke perlawanan akhir tetapi tidak kesampaian. Jika pasukan memanfaatkan beberapa peluang terhidang mungkin situasi berbeza dan kita harus terima hakikat kegagalan ini,” katanya. – AGENSI