LIPIS – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar pembangunan industri pembuatan peluru dengan menggunakan jentera berteknologi tinggi yang dibina di Kampung Kechau Tui di sini dapat memberikan limpahan ekonomi kepada negeri itu.
Baginda bertitah, menerusi pembukaan industri berkenaan di daerah ini juga dapat menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di negeri ini.
“Seperti saya katakan tadi, (kilang peluru) ini dapat menjana pekerjaan kepada orang tempatan. Saya harap anak-anak tempatan terpanggil untuk bekerja di sini.
“Objektif kilang ini adalah untuk mengeluarkan produk yang boleh dihasil di sini dan dijual di tempatan dan juga dijual ke antarabangsa.
“Saya juga mengalu-alukan mana-mana syarikat yang boleh mendatangkan kebaikan dan hasil yang baik untuk Negeri Pahang, rakyat Pahang dan seterusnya,” titahnya selepas Perasmian Kilang Peluru Automasi Tinggi Pertama di Malaysia milik Ketech Asia Sdn. Bhd. (Ketech Asia), di sini hari ini.
Kilang dengan keluasan 40.5 hektar terbabit telah dibangunkan sejak 2022 di atas tanah yang dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan menjadi tapak untuk mengoptimumkan proses pembuatan peluru dengan menggunakan jentera berteknologi tinggi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ketech Asia, Mohd Nahar Nasir berkata, kilang peluru yang akan beroperasi 1 Mac depan memiliki seramai 110 pekerja dengan 91 peratus darinya merupakan pekerja tempatan dari Pahang.
“Pasaran peluru sudah bermula dari Mei tahun lepas. Kita sudah mula pasarkan dan ada beberapa pihak yang telah berminat untuk bekerjasama bagi kita bekalkan peluru kepada mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE