PETALING JAYA – “Siapa bunuh anak aku?”, itulah yang diungkapkan oleh bapa kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin sejurus jasad anaknya itu ditemui oleh saksi pendakwaan keenam pada malam 6 Disember 2023.
Perkara itu dimaklumkan Faizul Najib Abd Munaim, 47, individu pertama yang menemui mayat Zayn Rayyan, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian pada perbicaraan hari keempat bagi kes pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abd Manaf, 30.
Kata saksi tersebut sebaik sahaja penemuan itu, seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai datuk kepada Zayn Rayyan kemudian tiba di lokasi kejadian lantas merangkul jasad kanak-kanak berkenaan sebelum muncul seorang lagi individu yang mengakui bahawa dia ialah bapa kepada arwah.
“Selepas seketika, seorang lagi lelaki iaitu ayah kepada arwah datang dan mahu tengok anak dia. Ayah arwah datang dalam keadaan emosi dan ada beberapa perkataan, antaranya yang saya ingat ‘Siapa bunuh anak aku ni?’,” kata saksi itu lagi.
Bercerita lanjut, saksi itu memberitahu dia menyertai misi mencari Zayn Rayyan, daripada grup WhatApps komuniti yang memaklumkan mengenai kehilangan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Damansara Damai.
Semasa prosiding, saksi itu sekali lagi menangis apabila pihak pendakwaan mengemukakan gambar-gambar Zayn Rayyan kepadanya bagi tujuan pengecaman.
Ketika itu, dia terus melakukan misi mencari secara sendiri antaranya ke hentian Rehat dan Rawat Sungai Buloh kerana kawasan itu mempunyai tarikan kanak-kanak kerana ada taman permainan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi petang ini. – KOSMO ONLINE