fbpx

Tiga bulan lagi musim haji, jangan tertipu pakej haji furada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengingatkan orang ramai terutama bakal haji supaya berjaga-jaga dengan tawaran pakej visa mujamalah atau furada.

Katanya, dalam keterujaan rakyat Malaysia untuk menunaikan Rukun Islam kelima tu, akan wujud cubaan penipuan oleh syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab.

“Kira-kira tiga bulan dari sekarang akan bermula musim haji bagi tahun Hijrah 1446 atau 2025 Masihi.

“Dalam tempoh itu, pihak polis percaya akan wujud cubaan penipuan bagi memperdagangkan visa haji furada atau visa mujamalah sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

“Sejumlah 44 kes penipuan haji dan umrah disiasat sepanjang 2024 melibatkan kerugian RM890,810.53. Bagi tahun 2025 sehingga 2 Februari, sebanyak 17 kes direkodkan melibatkan kerugian RM364,620 dalam lima minggu,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.

Menurut Ramli, visa furada dan visa mujamalah merujuk kepada visa yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi dan melibatkan kumpulan tertentu sahaja.

“Visa ini bagaimanapun dikeluarkan hanya untuk orang atau kumpulan tertentu dan tiada kaitan dengan kuota haji rasmi yang diperuntukkan oleh kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.

“Namun visa sebegini amat terhad, mahal dan hanya boleh dilakukan pada saat-saat akhir kerana tertakluk kepada keputusan Arab Saudi.

“Dia (kerajaan Arab Saudi) pun tengok keadaan di sana dan sebagainya, baru dia beri pertimbangan,” ujarnya,

Jelasnya, ketidakpastian inilah yang secara tidak langsung membuka peluang kepada sindiket penipuan untuk mengaut keuntungan.

“Maka untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan, individu yang ingin mendapatkan visa furada atau mujamalah ini adalah dinasihatkan untuk berurusan dengan agensi yang dipercayai sahaja seperti Lembaga Tabung Haji,” jelasnya.

Tambahnya, sebarang janji-janji manis bahawa visa akan diberikan di Arab Saudi adalah palsu semata-mata.

“Itu tidak akan berlaku. Kita tak nak orang bersimpuh di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) menunggu kononnya penerbangan yang seterusnya.

“Kenduri telah dibuat di kampung. Nak balik ke kampung pun satu perasaan malu dan telah ditipu di sini. Di sini pun duduk di atas lantai KLIA menunggu khabar baik.

“Jadi lebih baik kita pastikan terlebih dahulu visa diperoleh sebelum kita mengambil risiko akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI