GEORGE TOWN – Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan penggunaan air tertinggi di Pulau Pinang bagi tahun 2024 dengan purata 209 juta liter sehari (JLH), bersamaan 24 peratus daripada jumlah keseluruhan 872 JLH di negeri ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K.Pathmanathan, penggunaan air di SPT tinggi kerana daerah itu mempunyai populasi kedua terbesar di Pulau Pinang.
“Selain kegunaan domestik, keperluan air untuk sektor industri yang pesat di SPT turut menyumbang kepada jumlah penggunaan yang tinggi,” katanya di sini hari ini.
Pathmanathan berkata, daerah yang mencatatkan penggunaan air kedua tertinggi ialah Daerah Barat Daya (DBD) dengan 199 JLH, meskipun jumlah penduduknya lebih rendah.
“Antara faktor penyumbang ialah kehadiran Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas serta taman perindustrian lain yang memerlukan bekalan air tinggi.
“Secara keseluruhan, Pulau Pinang mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.6 peratus dalam penggunaan air dari 877 JLH pada 2023 kepada 872 JLH pada 2024,” katanya.
Katanya, PBAPP tetap komited melaksanakan Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) bagi memastikan bekalan air terawat terus mencukupi.
“Permintaan air dijangka meningkat kepada 1,532 JLH menjelang 2030. Oleh itu, PBAPP sedang melaksanakan projek infrastruktur strategik untuk menambah kapasiti rawatan air sebanyak 602 JLH dan meneroka tiga sumber air mentah baharu,”katanya.
Sementara itu, katanya, Projek Air Perak-Pulau Pinang yang sedang dirancang dijangka memberi manfaat besar kepada negeri ini, termasuk membekalkan sekurang-kurangnya 250 JLH air terawat dari Perak ke Seberang Perai. – KOSMO! ONLINE