KALAU diminta memberi nama penghijrahan selebriti yang paling banyak meraih perhatian ketika ini, jawapannya mudah iaitu Nora Danish.
Bukan secara drastik seperti memakai purdah atau bersara dari dunia hiburan, Nora sebaliknya berjaya menawan hati banyak pihak dengan pelbagai perkongsian ilmu berkaitan al-Quran, termasuk perihal fardu ain.
Paling menarik perhatian baru-baru ini adalah usahanya menghafal surah al-Mulk yang mampu menghindari azab kubur.
Kata Nora atau nama penuhnya Nora Mohd Hanif Danish, 42, setiap hari dia kini dalam usaha istiqamah mendekatkan diri dengan al-Quran.
“Kalau diikutkan, saya seorang yang pelupa. Tahap pelupa itu sangat teruk. Hendak hafal lirik lagu pun tidak boleh, apatah lagi surah, namun saya berjihad hendak hafal al-Mulk.
“Sebaik hafal lima ayat pertama, saya menangis dan berdoa supaya Allah beri kecekalan hati. Alhamdulillah, selepas ayat ke-10, semuanya lebih mudah dan lancar.
“Sebenarnya semangat memang kena kuat. Setiap malam saya baca, kerana Allah beri kemampuan ini kepada saya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Bukan sahaja al-Mulk, Nora kini juga berada dalam fasa menggantikan solat yang pernah ditinggalkannya sebelum ini.
Bukan ‘aktiviti’ baharu, Nora berkata, perkara tersebut sudah dilakukan sejak enam bulan lalu ditambah pula jadual kerjanya tidak sepadat seperti sebelum ini.
“Rasanya saya banyak tinggalkan solat sejak akil baligh. Sekarang, setiap kali solat fardu, saya akan tambah dengan solat qada hingga hujung nyawa saya.
“Pada awalnya, memang sukar dan menangis sebab penat, setiap hari hanya mengadu pada Allah. Lama-kelamaan semuanya semakin okey dan jadi ketagih.
“Cuma saya takut hendak cakap lebih-lebih dan doakan saya istiqamah dengan usaha ini,” ujarnya.
Bukan untuk diri sendiri, dia juga menekankan perkara sama terhadap anak-anaknya tidak meninggalkan solat supaya tidak perlu menggantikan solat.
“Kini, saya tekankan pula kepada anak-anak, jika tinggalkan solat, mereka masih perlu menggantikannya.
“Sepanjang usaha mengganti solat, jiwa lebih tenang, semoga semua orang dapat melakukannya juga,” katanya.
Berkongsi perkembangan seni, dia memperlahankan kerjaya lakonan kerana memilih untuk meluangkan masa mengikuti kelas agama setiap minggu.
“Saya fokus kepada rezeki masa lapang yang Allah beri. Saya hadiri majlis ilmu untuk menguatkan lagi iman saya.
“Insya-Allah saya cuba buat yang terbaik sebagai seorang muslim. Saya percaya Allah Maha Baik, Dia sentiasa melihat usaha dan sentiasa memelihara kita.
“Dahulu banyak perkara saya tinggalkan. Jadi, sekarang, saya kelam-kabut penuhi jiwa dengan perkara sepatutnya,” ujarnya lagi.Preview (opens in a new tab)
Dalam masa sama, dia juga tidak terlepas daripada menerima tawaran watak penyondol, namun terpaksa ditolak disebabkan kekangan masa.
“Tawaran berlakon sentiasa ada tetapi banyak yang saya terpaksa tolak sebab tak boleh beri komitmen ditambah pula faktor masa tidak mengizinkan.
“Saya baru sangat berhijrah dan mahu fokus kepada pembelajaran (ilmu agama) supaya saya tahu apa diinginkan dalam hidup.
“Saya tolak juga bukan disebabkan ditawarkan watak curang. Kena faham juga, watak penyondol itu bukan kehendak rumah produksi sangat tetapi stesen televisyen yang mahu kerana penonton suka,” tuturnya.