PASIR MAS – Unit Hemodialisis Hospital Pasir Mas di sini ditutup buat sementara waktu susulan bumbung bangunan itu runtuh pada malam tadi.
Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira faktor keselamatan semua pihak yang terlibat.
Menurutnya, tiada pesakit yang menjalani rawatan semasa bumbung bangunan Pusat Dialisis Hospital Pasir Mas itu runtuh.
“Dianggarkan seramai 64 pesakit yang menjalani rawatan di pusat tersebut dan kesemua mereka dipindahkan untuk menjalani rawatan dialisis di Hospital Bachok dekat sini buat sementara waktu,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat kawasan runtuhan bumbung di Unit Hemodialisis, Hospital Pasir Mas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zaini memberitahu siasatan mengenai punca kejadian diserahkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melihat keadaan bangunan itu.
“JKR lebih berpengalaman dan kita serahkan kepada mereka sehingga bangunan Unit Hemodialisis Hospital Pasir Mas siap dibaik pulih sepenuhnya,” katanya.
Kosmo! hari ini melaporkan, bumbung bangunan Unit Hemodialisis Hospital Pasir Mas di sini runtuh dalam kejadian yang berlaku di hospital berkenaan pada malam tadi.
Bagaimanapun, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.45 malam itu. – KOSMO! ONLINE