SHAH ALAM – Tindakan sebuah premis pembuatan mencetak kotak membuang dakwat biru dalam lurang kumbahan tandas sehingga menyebabkan pencemaran air berwarna biru terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa semalam.
Insiden itu dikesan kira-kira pukul 12 tengah hari di kawasan Perindustrian Mahkota, Beranang dekat sini apabila aliran air berwarna biru tersebut melimpah masuk ke longkang berhampiran paip tanpa kebenaran (bypass) di lokasi itu.
Paip bypass berkenaan sebelum ini telah ditutup Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) susulan insiden air berwarna merah jambu di Sungai Kabul pada 15 Januari lalu.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah meletakkan empat beg activated carbon (AC) dengan segera di kawasan longkang tersebut sebagai langkah kawalan dan pencegahan.
Katanya, siasatan lanjut kemudiannya menemukan sebuah alur lurang kumbahan utama (manhole) yang terdapat kesan aliran air sama berdekatan dengan Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).
“Siasatan LUAS bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) , IWK dan MPKJ kemudiannya telah menemui beberapa bekas yang mengandungi sisa pewarna yang dipercayai dakwat pencetak di kawasan sebuah premis yang menjalankan perniagaan pembuatan mencetak kotak.
“Hasil siasatan juga mendapati terdapat kesan basuhan yang berwarna sama seperti di dalam lurang kumbahan di tandas utama premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas beliau, ini seterusnya mengelakkan risiko permasalahan kepada Sungai Kabul dan seterusnya gangguan kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang jaraknya 16.3 kilometer daripada lokasi itu.
Tambahnya, penemuan itu juga sekaligus berjaya mengenal pasti punca kepada beberapa insiden aliran air tercemar berwarna di Sungai Kabul yang berlaku sebelum ini.
“MPKJ dan JAS telah mengarahkan premis itu untuk menghentikan operasi serta-merta selain menyita premis berkenaan.
“LUAS telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air,” katanya.
Jelasnya, semua penemuan -penemuan tersebut turut dipanjangkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan lanjut di bawah bidang kuasa agensi itu. – KOSMO! ONLINE